Tuesday, April 10, 2012

TUGAS PEMIMPIN PENGAKAP DI SEKOLAH


1. PENUBUHAN DAN PENDAFTARAN KUMPULAN

Seorang yang dewasa berusia lebih dari 18 tahun 6 bulan dan menjadi pemimpin boleh menubuhkan kumpulan dengan menulis surat kepada Pesuruhjaya Pengakap Daerah/Setiausaha Persekutuan Tempatan untuk menyatakan tujuannya atau penerangan cara menubuhkan Pasukan Pengakap. Bila Pesuruhjaya Pengakap Daerah dan Persekutuan Pengakap Tempatan berpuas hati maka 3 keping borang PPM – (8) akan dikirimkan kepada pemimpin berkenaan untuk dipenuhkan. Setelah lengkap dan ditandatangani oleh Kuasa Penganjur (Guru Besar) dan bakal pemimpin, hendaklah dihantar kepada Persekutuan Pengakap Malaysia melalui Pesuruhjaya Pengakap Negeri.

Apabila mendapat kelulusan dari Persekutuan Tempatan dan Pesuruhjaya Pengakap Daerah, maka bakal pemimpin hendaklah bersetuju menerima tujuan-tujuan, cara-cara dan dasar Persekutuan untuk mengusahakan dengan sedaya upayanya.

a) Menubuhkan jawatankuasa Kumpulan dengan secepat mungkin dan tidak lewat dari 3 bulan setelah kumpulan ditubuhkan.

b) Hendaklah mengandungi sekurang-kurangnya 3 patrol dan tidak lebih dari 6 patrol mempunyai sejumlah 18 / 48 orang ahli. Apabila lebih dari dua unit maka hendaklah ada seorang Pemimpin Kumpulan, 2 oreang pemimpin dan beberapa orang penolong pemimpin. Jika satu unit sahaja maka hendaklah ada seorang pemimpin bertugas dan beberapa orang penolong-penolongnya mengikut keperluan kumpulan itu.

c) Menegaskan tentang keagamaan dalam pengakap supaya perjalanan kumpulan itu mengikut nilai-nilai agama.

d) Menentukan semua ahli pengakap menerima latihan sepenuhnya mengikut skim latihan.

e) Menolong kumpulan itu untuk mendapatkan tempat / rumah yang sesuai dan peralatan latihan untuk berlatih.

f) Pemimpin mesti patuh akan Dasar, Pertubuhan dan Perlembagaan Persekutuan Pengakap Malaysia.

Bagi ibu pejabat, seterusnya menerima borang PPM-8 dua salinan akan dikembaliukan ke Pesuruhjaya Negeri dan Persekutuan Tempatan untuk direkodkan. Usaha seterusnya oleh kumpulan ialah pembayaran pendaftaran keahlian dan kumpulan dengan memenuhkan borang PPM 1 (A) dan PPM (B)
Borang pendaftaran kumpulan RM 10.00
Borang pendaftaran ahli pengakap RM 3.00
Bayaran pendaftaran pemimpin / ahli biasa RM 5.00

2. PERATURAN DAN PEMBATALAN KUMPULAN.

Kumpulan yang tidak memperbaharui pendaftarannya bersekali dengan keahliannya, maka kumpulan itu tidak dibenarkan menjalankan latihan / perjumpaan dan tidak dibenarkan ahli-ahlinya memakai uniform pengakap. Kumpulan itu dengan sendirinya digantung keahliannya mengikut peraturan perlembagaan Persekutuan peraturan 44 – 46 dan 47.

Dalam masa penggantungan semua latihan kumpulan dan pemimpinnya secara automatis digantung keahlian pemimpinnya serta tauliahnya mengikut peraturan 80 PPM.

Walau bagaimana pun penggantungan ini adalah sementara sehingga kumpulan itu memperbaharui pendaftaran keahliannya. Pihak Persuruhjaya Daerah akan memaklumkan kepada kuasa penganjur akan kesalahan perkara ini. Pihak Pesuruhjaya Daerah akan menarik balik surat penggantungan kumpulan dan tauliah pemimpin setelah pendaftaran disempurnakan kemudian.

3. PENTADBIRAN KUMPULAN

a) Majlis Kumpulan
Keanggotaan Majlis Kumpulan hendaklah terdiri dari:-
i) Seorang Pengerusi
ii) Seorang Setiausaha
iii) Seorang Bendahari
iv) Sekurang-sekurangnya 7 orang ahli jawatankuasa
v) Pemimpin kumpulan adalah sebagai ahli tasmi bagi mewakili Majlis Pemimpin Kumpulan.
vi) Kuasa Penganjur adalah sebagai penasihat.

b) Majlis Pemimpin Kumpulan.
i) Pemimpin kumpulan / pemimpin bertugas – Pengerusi
ii) Seorang pemimpin dilantik - Setiausaha
iii) Semua pemimpin dan penolong pemimpin - jawatankuasa

c) Majlis Ketua Patrol
Pemimpin kumpulan hendaklah menubuhkan Majlis Ketua Patrol yang terdiri daripada ketua-ketua patrol dan penolongnya.

4. TAULIAH-TAULIAH

Pemimpin kumpulan hendaklah memohon tauliah tetap/sementara pemimpin kepada Pesuruhjaya Daerah untuk pemimpin-pemimpin seperti berikut.

a) Tauliah Tetap – kepada pemimpin yang telah menghadiri dan lulus Kursus Kepimpinan Manikayu peringkat II
b) Tauliah sementara – kepada pemimpin yang belum menghadiri sebarang kursus kepimpinan manikayu.
c) Tanpa Tauliah – pemimpin yang tidak mempunyai sebarang tauliah, maka ianya tidak boleh menjalankan latihan kepada ahli pengakapnya.

5. TUGAS MAJLIS PEMIMPIN.

a) Buku log Kumpulan.
- Kedatangan ahli unit tiap-tiap perjumpaan .
- Perharian
- Stok alatan kumpulan
- Persediaan mengajar / program latihan
- Kutipan yuran.

b) Surat kebenaran ibubapa / penjaga
- Pemimpin unit hendaklah terlebih dahulu membuat surat kebenaran murid/pelajar yang ingin memasuki unit pengakap dari ibubapa mereka dan surat kebenaran ini hendaklah disimpan dan difailkan.

c) Butiran peribadi Unit Pengakap.
- Nama ahli, No. K.Pengenalan
- Tarikh lahir, bangsa , agama, kesihatan
- Nama ibu bapa, alamat keluarga
- Kecenderungan/minat.

Cara-Cara Menjalankan Perjumpaan Pengakap Kanak-Kanak


 
                                   1.Merancang Program
        1.1 : Menyenaraikan alatan atau keperluan untuk sesuatu perjumpaan
        1.2 : Alatan atau keperluan mengikut bidang yang diajar pada perjumpaan itu.
        1.3 : Sebagai kesinambungan kepada program perjumpaan yang akan datang.
                                  2. Perkara-Perkara yang perlu dirancang
        2.1 : Gunakan idea-idea yang menarik
        2.2 : Perancangan untuk memenuhi kehendak/naluri peringkat umur Pengakap Kanak-Kanak
       
2.3 : Tetapkan FOKUS/TUJUAN/MATLAMAT perjumpaan itu.
        2.4 : Contoh tujuan/matlamat perjumpaan:-
                a) Memahirkan pengakap dalam ilmu pertolongan cemas.
                b) Mengetahui / mengamal keselamatan di jalanraya
                c) Mengetahui / mengamal keselamatan di rumah
                d) Kemahiran dalam lakonan / nyanyian lagu pengakap
                e) Ujian-Ujian mengikut Lencana Keris.
        2.5 : Perancangan direkod dengan detail dalam buku log pasukan
        2.6: Semua pemimpin & penolong membantu menjayakan program perjumpaan
                              3. Kandungan Program
        3.1 : Perjumpaan dimulakan dengan kawalan yang sempurna.
        3.2 : Sediakan alatan sebelum perjumpaan
        3.3 : Mulakan perjumpaan dengan istiadat LAUNG AGUNG, diikuti dengan istiadat menaikkan bendera.
        3.4 : Selepas istiadat adakan pemeriksaan kesihatan/uniform.
        3.5 : Beri nasihat / kata-kata perangsang / motivasi
        3.6 : Beri taklimat ringkas mengenai program hari itu.
        3.7 : Jalankan aktiviti yang dirancang sama ada dalam kumpulan atau mengikut sistem "base"
        3.8 : Beri masa untuk pengakap melakukan ulangkaji di bawah pimpinan Ketua Enam Sekawan.
        3.9 : Adakan permainan / nyanyian lagu pengakap
        3.10 : Akhiri perjumpaan dengan istiadat LAUNG Agung dan istiadat menurunkan bendera.
                          4. Analisa
        4.1 : Adakah Pengakap bergembira
        4.2 : Adakan Pengakap memperolehi sebarang kejayaan
        4.3 : Adakah penyampaian mendapat sambutan Pengakap
        4.4 : Adakah matlamat perjumpaan itu tercapai
 
 

Thursday, April 5, 2012

UNDANG-UNDANG PENGAKAP

Pertama ~
 Pengakap adalah seorang yang sentiasa dipercayai maruah dan kehormatan dirinya. 
Kedua ~
 Pengakap adalah seorang yang taat kepada Yang Dipertuan Agong, kepada Rajanya, Negaranya, pemimpin-pemimpin pengakapnya, ibu-bapanya, orang-orang diatas dan orang-orang yang dibawahnya. 
Ketiga ~
 Pengakap wajib menjadikan dirinya berguna dan menolong orang pada setiap masa. 
Keempat ~  
Pengakap itu sahabat kepada sekalian dan saudara kepada lain-lain pengakap walau apa negeri, pangkat dan agamanya sekalipun. 
Kelima ~  
Pengakap itu baik dan sempurna budi pekertinya dan sentiasa berbudi. 
Keenam ~ 
 Pengakap itu baik dan kasih kepada segala binatang. 
Ketujuh ~ 
 Pengakap itu seorang yang sentiasa menurut perintah dan suruhan ibu-bapanya, kepala patrolnya atau pemimpin-pemimpin pengakapnya dengana tiada apa-apa soalan. 
Kelapan ~  
Pengakap itu seorang yang sentiasa sabar dan manis mukanya dalam kesusahan. 
Kesembilan ~  
Pengakap itu jimat dan cermat 
Kesepuluh ~  
Pengakap itu bersih dan suci fikirannya, perkataannya dan perbuatannya.

Amat mudah diingati dengan cara nyanyian :

Dipercayai, Taat Berguna, Bersaudara , Berbudi, Kasihkan binatang, menuruh perintah, Tabah hati berjimat, Suci fikiran, suci perkataan, suci perbuatan.


PERSETIAAN PENGAKAP


Bahawa dengan sesungguhnya, saya berjanji dan bersetia yang saya dengan seberapa daya upaya, saya akan:- 
Taat kepada Tuhan, Raja dan Negara 
Menolong orang pada setiap masa 
Menurut undang-undang pengakap



 









SEJARAH PENGAKAP


Dunia
Pengakap telah diasaskan oleh seorang bangsa lnggeris bernama Robert Stephenson Smyth Baden-Powell yang terkenal dengan nama Lord Baden-Powell atau BP. Baden-Powell dilahirkan di bandar London, England pada 22 Februari 1857, dan meninggal dunia pada 8 Januari, 1941. Bapa Baden-Powell bernama Reverend H.G. Baden-Powell adalah seorang mahaguru di Universiti Oxford, London, England. Ibunya ialah anak kepada Laksamana British bernama W.T. Smyth. Sewaktu Baden-Powell berusia tiga tahun, bapanya meninggal dunia dan tinggallah beliau bersama ibunya dalam keadaan yang sederhana. Pada zaman persekolahan Baden-Powell banyak menceburkan diri dalam kegiatan sekolahnya seperti berlakon, menyanyi dan menembak. Dalam masa cuti sekolah Baden-Powell bersama-sama tiga orang abangnya selalu pergi mengembara berjalan kaki berkhemah, belayar dan berperahu. Setelah berjaya dalam peperiksaan tentera, BP telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dan mula berkhidmat dalam tentera di India dan Afghanistan dalam tahun 1876, kemudian ke Natal (Zululand) dan Malta sebagai penolong Setiausaha Tentera. Beberapa tahun kemudian beliau dihantar bertugas di Afrika Barat untuk menamatkan satu peperangan di Ashanti, Ghana. Di situ beliau digelar KANTANKYE yang bermaksud Topi Besar. Dalam peperangan Baden-Powell sentiasa berhati-hati terhadap pergerakan musuh hinggakan beliau digelar IMPEESA yang bermaksud Serigala yang tak pernah tidur. Dalam tahun 1897, BP dinaikan pangkat menjadi Kolonel dan ditempatkan di India untuk memimpin Dragoon Guard ke 5. Beliau telah memberi hadiah kepada askar-askar yang menunjukkan kebolehan yang baik dengan satu lencana bergelar SCOUTS (Peninjau). Dalam tahun 1899 Baden-Powell pulang ke England membawa sebuah buku yang dikarangnya semasa di Kashmir berjodol Aids To Scouting. Buku itu mengandungi kisah peninjauan di India. Tidak lama kemudian, Baden-Powell telah dihantar ke Afrika Selatan untuk menambahkan dua rejimen askar berkuda untuk mempertahankan sempadan British dari serangan orang Boer iaitu puak keturunan pendatang Belanda. Orang-orang British telah mengepung bandar Mafeking, iaitu sebuah bandar jajahan British, dengan itu mencetuskan satu peperangan besar yang dinamakan Peperangan Boer. Dalam peperangan itu, Baden-Powell hanya mempunyai seramai 1,000 orang askar berbanding dengan 9,000 orang Boer. Dengan tipu helah, beliau meletakkan periuk api pasir dan papan tanda BAHAYA sehingga beliau telah berjaya memperdayakan orang-orang Boer. Beliau telah menggunakan budak-budak untuk mengintip rahsia musuh. Akhirnya Baden-Powell berjaya memenangi peperangan itu. Di atas kemenangan itu, beliau telah dinaikkan pangkat Mejar Jeneral ketika berumur 43 tahun, pegawai yang termuda menerima pangkat itu. Selepas perang Boer, Baden-Powell diarahkan menubuhkan pasukan polis Afrika Selatan dan dilantik sebagai Jeneral Tentera Berkuda. Beliau menjadi Jeneral pasukan tentera Simpanan ketika berumur 50 tahun. Setelah bersara dari tentera, Baden-Powell pulang ke England dan telah menganjurkan satu perkhemahan di Pulau Browsea selama 10 hari pada tahun 1907. Seramai 21 orang budak-budak turut serta dalam perkhemahan itu. Baden-Powell menggunakan idea berpandukan kepada pengalamannya dalam peperangan Mafeking dan buku "Aids To Scouting". Budak-budak itu dibahagikan kepada empat patrol. Mereka belajar dan berlatih cara berkhemah, memasak, memerhati, mengembara, berperahu, menyelamat nyawa dan mengesan jejak. Pada malamnya diadakan unggun api. Perkhemahan di Pulau Browsea berjaya dan amat diminati oleh budak-budak yang menyertainya. Selepas itu dalam tahun 1908, Baden-Powell pula mengarang sebuah buku berjudul "Scouting For Boys". Kandungannya berdasarkan kepada pengalaman beliau semasa menjadi askar di India dan Afrika serta perkhemahan budak-budak di Pulau Browsea. Buku itu telah memikat hati budak-budak. Dengan itu wujudlah Pergerakan Pengakap. Dalam tempoh setahun sahaja Pergerakan Pengakap berkembang di England dan merebak ke Australia, Canada, New Zealand dan Afrika Selatan. Berikutnya pada tahun 1909, Pergerakan Pengakap ditubuhkan di Chile, Amerika Syarikat, Ghana, India dan selepas itu di seluruh dunia.
Di Malaysia
Bermula di pantai barat Malaysia dalam tahun 1910, dua tahun selepas ianya dimulakan di Great Britain. Dipercayai bahawa ianya dimulakan di Pulau Pinang tahun 1908, Selangor pula bermula pada tahun 1909 tetapi tidak bergerak cergas. Pengakap pertama mengandungi 30 orang ditubuhkan di Singapura tahun 1910 oleh Tuan F.C Sands (Jaguh Pengakap terkenal di Nottingham dan seorang pendidik). Perkembangan ke negeri-negeri lain di Malaysia bermula tahun 1912 di Pahang, 1913 Sabah, 1915 Pulau Pinang dan Sarawak, 1920 Perak, 1922 Kedah dan Perlis, 1925 Melaka dan Negeri Sembilan, 1926 Selangor dan Terengganu, 1927 Kelantan, 1928 Johor, yang kesemuanya berjumlah lebih 85,000 orang. Cawangan Persekutuan Budak-budak Pengakap Great Britain di kenali sebagai Persekutuan Budak-budak Pengakap di kawasan Malaya termasuk Singapura dengan setiap negeri sebagai satu Daerah Pengakap. Sabah dan Sarawak menjadi ahli cawangan Great Britain. Selepas Perang Dunia Ke 2, Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura telah menjadi dua cawangan yang berasingan daripada Great Britain. Setiap satunya mempunyai Persekutuan Negeri yang dibahagi kepada beberapa Daerah Pengakap yang mempunyai Persekutuan-Persekutuan Tempatan yang dikenali sebagai Persekutuan Budak-Budak Pengakap Persekutuan Tanah Melayu. Ianya menjadi badan bebas yang menjadi ahli Persidangan Pengakap Sedunia pada 1 September 1957.

PENGAKAP KANAK-KANAK


Pergerakan Pengakap Kanak-kanak merupakan salah satu badan beruniform (berpakaian seragam) yang giat bergerak di negara ini. Salah satu cabang dalam pergerakan ini ialah Pengakap Kanak-kanak. Pengakap Kanak-kanak mengandungi ahli-ahli yang berumur antara (8) lapan tahun hingga (12) dua belas tahun (murid-murid sekolah rendah)
               Pergerakan Pengakap Kanak-kanak menjadi salah satu gerakerja kumpulan yang memberi khidmat kepada sekolah dan masyarakat. Di bawah program KBSR Pergerakan Pengakap Kanak-kanak telah dipilih sebagai salah satu gerakerja kokurikulum yang diwajibkan di semua sekolah rendah. Ini disebabkan ianya didapati amat sesuai dijalankan oleh murid-murid pada peringkat ini.
               Pergerakan Pengakap Kanak-kanak merupakan satu cara didikan yang boleh dijalankan di dalam dan di luar sekolah. Aktiviti Pergerakan Pengakap Kanak-kanak mudah diikuti dan menarik minat murid-murid. Di samping itu, ia dapat pula menyemaikan sifat-sifat kepemimpinan, bekerjasama, tolong-menolong dan sedia berkhidmat di kalangan mereka.


MATLAMAT PERGERAKAN PENGAKAP KANAK-KANAK
  • Mengembangkan kebolehan mental, minat, bakat serta perkembangan rohani dan jasmani mereka;
  • Mengukuh dan memperkayakan pengalaman yang dipelajari di dalam bilik darjah;
  • Menyediakan mereka dalam proses penyesuaian bermasyarakat dengan cara memberi pengalaman untuk berhubung, bergaul dan bekerjasama;
  • Memaju dan mengembangkan minat, bakat dan kemahiran muri-murid dalam bidang-bidang tertentu;
  • Menyemai dan memupuk disiplin, nilai dan sikap positif di kalangan mereka selaras dengan hasrat Rukunegara;
  • Melatih murid mengisi masa lapang dengan gerakerja yang berfaedah di samping dapat meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan diri mereka; dan
  • Menggalakkan murid-murid untuk melibatkan diri dan memberi sumbangan kepada sekolah dan masyarakat.